Orang kaya dan orang miskin itu saling memerlukan. Orang kaya mendapat ganjaran dengan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah dan amalan memberi sedekah atau sumbangan sebahagian harta kepada yang memerlukan.
Orang miskin pula mendapat ganjaran dengan kesabaran menempuhi kesusahan dan mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah melalui orang kaya.
Di sini saya kongsikan antara dalil berkaitan bersedekah. Semoga perkara ini dapat memberikan kita semangat untuk terus melakukan kebaikan kepada
Dalil #1: Orang yang bersedekah hamba yang beriman
“Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”
– Surah aL-Baqarah, ayat 254.
Dalil #2: Orang yang bersedekah digandakan sehingga 700 kebaikan
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
– Surah aL-Baqarah, ayat 261.
Dalil #3: Orang yang bersedekah terlepas dari dukacita
“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”
– Surah al-Baqarah, ayat 274.
Dalil #4: Kita memberi pinjaman kepada Allah
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. ”
Surah al-Hadid, ayat 18.
Dalil #5: Orang yang bersedekah terlepas dari penyesalan.
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku — ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.”
Surah al-Munafiquun, ayat 10.
Dalil #6: Hartanya diganti semula
Daripada Sidna Abu Hurairah, Sidna Nabi Muhammad salallahu alaihi wassalam telah bersabda,
“Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerusakan bagi orang yang menahan (hartanya)”.
– Sahib al-Bukhari
Dalil #7: Sedekah yang terbaik
Daripada Sidna Abu Hurairah,
“Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah, sedekah manakah yang teragung pahalanya?” Rasulullah s.a.w. bersabda “jikalau engkau bersedekah, sedangkan engkau itu masih sehat, dan sebenarnya engkau merasa sayang mengeluarkan sedekah itu, karena takut menjadi fakir dan engkau amat mengharap-harapkan untuk menjadi kaya. Tetapi janganlah engkau menunda-nunda, sehingga apabila nyawamu telah sampai di kerongkong lalu berkata: “Untuk si Fulan itu, yang ini dan untuk si Fulan ini, yang itu, sedangkan orang yang engkau maksudkan itu telah memiliki apa yang hendak kau berikan.”
– Sahih al-Bukhari
Wallahu a’lam dan semoga bermanfaat.
Fahmi Shah
22 Syaʿban 1443H
Bandar Baru Selayang