Baru tadi saya kongsikan harga emas semasa Public Gold dengan kenalan saya, dan menurut beliau harga emas sekarang sedang menurun dan sambung beliau lagi sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk melabur atau menyimpan dalam emas kerana trend menunjukkan harga emas menurun jadi pelabur atau penyimpan emas akan mengalami kerugian sebaik saja membeli emas.
Bagi saya, kenyataan beliau itu kurang tepat. Teruskan membaca kalau nak tahu kenapa.
Harga Emas Ada Turun Naik
Pertama sekali kena faham, emas merupakan komoditi yang transaksinya berlaku 24 jam sehari di seluruh dunia atau dalam bahasa yang mudah, setiap saat ada berlakunya jual dan beli untuk logam emas ini. Bila berlaku perkara ini, nak tak nak harga emas memang akan ada turun dan naik berdasarkan supply and demand.
Bila permintaan dan penawaran ini berlaku, logam emas memang tak boleh lari dari terkesan dari penurunan dan kenaikan harga. Namun, turun naik emas ini berlaku dalam jangka pendek iaitu dalam jangka masa dua tahun dan kebawah secara kebiasaannya.
Contohnya,
Harga emas GAP Public Gold tertinggi untuk tahun 2022 setakat ini ialah RM 301 iaitu pada 9 Mac 2022. Manakala harga terendah pula ialah RM 264 iaitu pada 7 Januari. Bagi tahun 2021 pula, harga tertinggi yang pernah dicatatkan ialah MYR 277 pada 6 January 2021 dan terendah pula MYR 240 pada 9 Mac 2021.
Jadi, kalau nak mulakan simpanan atau melabur dalam emas bila-bila masa pun sesuai sebab jangka pendek harga emas memang sentiasa naik dan turun.
Harga Emas Pasti Naik Dalam Jangka Panjang
Berdasarkan carta yang saya lampirkan, kita dapat lihat sejarah harga emas dari tahun 1996 hingga 18 May 2022. Dari RM25 naik kepada RM257 (harga spot) iaitu kenaikan sebanyak lebih 700%! Ada beberapa faktor mengapa dalam jangka panjang harga emas menunjukkan trend menaik, salah satunya dan paling utama ialah nilai matawang kita yang semakin melemah disebabkan inflasi.
Sebab itu, pakar emas iaitu En. Syukor Hashim menyarankan kita untuk wujudkan simpanan emas agar kekayaan kita tak dirompak oleh inflasi. Cara paling mudah nak ukur inflasi sangat senang. Cuba bandingkan RM100 dahulu dengan RM100 sekarang. Kalau dulu RM100 mungkin boleh dua troli kalau pergi pasaraya, namun kini RM100 pun belum tentu penuh troli.
Menurut guru emas saya, En. Mohd Zulkifli Shafie, analogi paling mudah nak tentukan inflasi ialah dengan melihat harga kuih karipap dulu dan sekarang.
Harga Karipap Pun Naik, Inikan Harga Emas
Harga karipap dulu seingat saya 20 sen sahaja, inti karipap masa tu pun agak penuh. Sekarang rata-rata harga karipap dah jadi 50 sen itu pun kadang-kadang inti pun separuh dan selebihnya inti angin. Jadi secara logiknya, harga karipap pun menunjukkan kenaikan harga dalam jangka panjang, inikan pula harga emas.
Harga karipap tak pernah turun naik dalam jangka pendek. Bila harga karipap dan naik harga, selalunya harganya tetap macam tu sampai kenaikan harga barang yang seterusnya. Harga emas pula ada turun dan naik dalam jangka pendek. Namun, bila harga emas menurun, harganya takkan turun sehingga ke harga terdahulu.
Kesimpulannya
Apa yang saya nampak, bila harga emas menurun itu sebenarnya merupakan peluang untuk kita tambah aset kita. Bila harga menjunam, waktu tu sepatutnya kita ambil peluang untuk dapatkan emas pada harga yang rendah untuk waktu tu. Bila ada duit lebihan yang rasa-rasa tak digunakan dalam tempoh dua tahun, tukarkan saja dalam bentuk emas.
Jangan tunggu harga lagi rendah kerana kita tak tahu serendah mana harga emas boleh turun. Kita hanya akan tahu harga paling rendah bila dah jadi sejarah, seperti carta harga emas di atas. Dapat tahu pun tak guna sebab dapat tengok saja, tapi tak boleh beli.
Tip Penting Sebelum Mula Melabur Atau Simpan Emas
#1 Melabur dengan duit lebihan simpanan
Sebelum memulakan pelaburan emas, pastikan duit yang kita nak gunakan itu merupakan duit lebihan dari simpanan kita. Katakan kita ada RM 3,000 dalam akaun bank kita yang kita jadikan sebagai duit kecemasan, jangan usik RM 3,000 tadi untuk melabur. Silap hari bulan, kalau sedang terdesak nak pakai duit, kena pula masa tu harga emas sedang turun, kita juga yang rugi. Pastikan kita melabur dengan lebihan RM 3,000 tadi.
Ingat, jangan sekali-kali melabur untuk dapat duit lebih, tapi melaburlah sebab ada duit lebih.
#2 Hanya sebahagian tukar kepada simpanan emas
Majoriti penyimpan emas termasuk guru emas saya sendiri, mereka akan pecahkan sebahagian simpanan mereka dalam dua bentuk, iaitu duit tunai dan emas. Ada dua sebab kenapa mereka buat begini;
- Nak lindungi simpanan mereka dari kejatuhan matawang atau inflasi.
- Nak elakkan kebocoran simpanan dan elak sikap boros berbelanja.
Jangan tukarkan kesemua simpanan kita kepada emas. Ini akan merumitkan lagi keadaan kalau kita nak guna duit on the spot.
Harap perkongsian kali ni memberi manfaat kepada para pembaca.
Fahmi Shah
18 Syawal 1443H
Bandar Baru Selayang