Antara perkara yang saya suka untuk jadikan emas sebagai simpanan ialah kerana hanya saya dan isteri yang tahu berapa banyak nilai emas yang saya ada, dan di mana kami simpan emas-emas tersebut.
Dalam kata yang lain, orang lain termasuk kerajaan tidak tahu berapa nilai sebenar emas yang kami simpan. Berbanding kalau saya menyimpan wang dalam mana-mana institusi kewangan, pergerakan kewangan kami direkodkan dan mana-mana pihak yang mempunyai akses kepada sistem tersebut boleh “trace” jumlah kekayaan kami di institusi tersebut.
Dalam bahasa yang mudah, kekayaan saya dipantau oleh pihak ketiga.
Emas Fizikal Tidak Ada Dalam Rekod Kewangan
Menurut pakar sejarah matawang iaitu Michael Maloney, emas dan perak merupakan aset kewangan yang tidak berada dalam sistem kewangan. Simpanlah berkilo-kilo emas sekali pun di rumah, hanya kita saja yang tahu berapa banyak simpanan kita itu.
Dengan syarat, emas yang kita simpan itu ialah emas fizikal. Bukan emas yang dilaburkan dalam akaun pelaburan emas yang ditawarkan oleh bank dan institusi-institusi pelaburan.

Orang Bangkrap Boleh Simpan Emas
Seseorang yang telah diisytiharkan bangkrap oleh kerajaan tidak mempunyai akses kepada kekayaan yang ada dalam akaun-akaun bank miliknya tetapi dia masih mempunyai akses kepada emas-emas fizikal miliknya.
Kerajaan tidak boleh membekukan emas fizikal yang dia simpan kerana emas fizikal tidak terikat dengan sesiapa. Emas fizikal tidak mempunyai rekod pemilik dan tidak ada rekod transaksi serta tidak ada dalam rekod sistem percukaian yang boleh dipantau oleh kerajaan.
Berbanding aset hartanah, simpanan emas tidak memerlukan geran atau surat permilikan yang disahkan daripada mana-mana institusi. Emas pula hanya mempunyai satu sijil sahaja, iaitu sijil ketulenan yang dikeluarkan oleh assayer atau penguji ketulenan logam. Dan sijil ini hanyalah sijil pengesahan ketulenan semata-mata, bukannya rekod yang wujud dalam sistem kewangan.
Sorok Kekayaan Dengan Emas
Apabila emas ini tidak wujud dalam sistem kewangan, ini bermakna kita boleh menyorok kekayaan kita dengan emas. Orang yang menyimpan emas, walaupun dia diisytiharkan muflis atau bangkrap, dia tetap ada talian hayat terakhir iaitu emas, kerana emas merupakan aset fizikal yang dalam tangannya sendiri berbanding aset fizikal lain seperti hartanah.
Dengan emas yang dia simpan itu, dia masih boleh meneruskan hidup dengan menjual emas yang dia ada untuk mendapatkan wang tunai. Sekurang-kurangnya masih ada sumber untuk meneruskan hidup dalam masa yang sama membina semula kehidupan dia.
Kesimpulannya…
Jadikan emas sebagai sebahagian daripada kekayaan kita. Gunakan kelebihan emas yang ada untuk kita jadikan sebagai insurans kekayaan kita. Kalau ditakdirkan berlaku apa-apa kita tidak ingini, sekurang-kurangnya kita masih ada emas untuk teruskan kehidupan bersama keluarga kita.
Wujudkan simpanan emas dikala kita tidak memerlukan, kerana satu hari nanti kita amat memerlukan kepadanya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Wallahu a’lam.
Penjelasan Tuan Mohd Zulkifli Shafie
Di bawah ini merupakan salah satu sesi seminar oleh Tuan Mohd Zulkifli Shafie yang menerangkan secara ringkas tentang emas sebagai alat untuk sorokkan kekayaan yang paling berkesan. Semoga bermanfaat.
Fahmi Shah
27 Rabiul Awal 1444H
Bandar Baru Selayang
Kredit foto: World Finance